Wednesday, 4 October 2017

Lawatan ke Langkawi

Hi semua! 

Hari ini, saya nak ceritakan pengalaman saya bercuti ke Pulau Langkawi. Semestinya saya ke sana bersama keluarga saya. Pulau Langkawi ini terletak di Negeri Kedah Darul Aman dan ianya juga dikenali sebagai Pulau Bebas Cukai. Menurut lagenda,Langkawi mendapat nama dari perkataan 'Lang' yang merupakan nama pendek bagi 'helang'.Manakala 'kawi' mengikut istilah melayu kuno bermaksud coklat.Maka Langkawi bermaksud Helang Coklat. Untuk sampai ke Langkawi, ada dua cara pengangkutan iaitu dengan menaiki kapal terbang atau feri. 



Kami ke sana dengan menaiki kapal terbang AirAsia dan perjalanannya memakan masa selama 5 minit. Setibanya disana, kami mendaftar masuk di sebuah chalet yang terletak di Pantai Chenang. Nama chalet itu ialah AB Motel. Sungguh cantik tempat tinggal kami terutamanya pantai yang bersih dan pemandangan air laut yang membiru. 


Semasa di Langkawi, kami berkesempatan melawat tempat-tempat pelancongan yang menarik. Tempat pertama yang kami pergi ialah Makam Mahsuri yang terletak di Mukim Ulu Melaka. Makam Mahsuri terletak kira-kira 12 km dari bandar Kuah. Ia merupakan makam peringatan ke atas pengorbanan Mahsuri di Langkawi,seorang wanita jelita yang telah dituduh melakukan perkara sumbang. Mahsuri dijatuhkan hukuman bunuh dengan ditikam sehingga mati menggunalam sebilah keris. Menurut lagenda, darah putih mengalir keluar dari tubuh Mahsuri setelah ditikam dan saat-saat menemui ajalnya beliau telah bersumpah ke atas Pulau Langkawi yang mana ia tidak akan maju dan bahagia selama tujuh generasi.Walaubagaimanapun, selepas 7 generasi, Langkawi telah membangun dengan pesat sekali. 









Selepas selesai melawat Makam Mahsuri, kami pergi pula ke UnderWater World. Di sini kita boleh menyaksikan berbagai hidupan laut yang di tempatkan didalam tangki kaca .Ia terletak di Pantai Cenang dan merupakan pusat tarikan yang menarik di Langkawi .Terdapat lebih 5000 jenis hidupan laut dipamerkan didalam lebih 100 tangki kaca yang berbagai saiz dan jenis.Tarikan utama adalah ikan-ikan yang besar seperti jerung,pari tropika,penyu serta yang terbaru seperti anjing laut ,penguin dan naga laut .Saya dan adik saya merasa sungguh teruja melihat kehidupan laut seolah-olah kami juga berada didalam laut.









Selain daripada itu juga, kami juga menaiki Cable car Langkawi yang terletak di Gunung Mat Chinchang. Cable car Langkawi ini mula dibuka kepada orang ramai pada 27 Februari 2005 untuk memudahkan pelancong tiba ke puncak gunung yang tingginya 713 meter. Pemandangan gunung batu kapur sangat indah dan menarik. Walaupun saya merasa gayat, tetapi saya beranikan juga diri saya untuk melihat ke bawah. Memang menakutkan tetapi seronok! 



Setelah penat berjalan, kami singgah sebentar untuk makan di restoran yang berdekatan. Saya mencuba Laksa Kedah dan juga masakan Thai. Memang sedappp! Kami pulang ke chalet untuk berehat dan tidur. 


Keesokan harinya, selepas bersarapan, kami berjalan-jalan di sekitar Bandar Kuah untuk membeli-belah. Sudah semestinya, saya mengajak ibu dan ayah pergi ke kedai menjual coklat. Begitu banyak coklat yang dijual sehinggakan saya tidak tahu mana yang nak dipilih. Harganya murah jika dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur. Ibu saya pula, membeli peralatan dapur seperti pinggan mangkuk dan sebagainya. Ayah saya hanya menggelengkan kepala kerana ibu saya tidak henti-henti keluar masuk kedai melihat barangan yang ada. 






Kami berada di Langkawi selama 3 hari 2 malam. Namun, pengalamannya sungguh menyeronokkan. Selepas ini, saya hendak ke sana lagi. Tetapi ibu saya letakkan syarat yang saya mesti mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan akhir tahun. Nampakknya, saya terpaksa berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai hajat saya itu. 


Okay semuaa sehingga jumpa lagi! 


Wassalam. 



No comments:

Post a Comment